Monday, 23 February 2026

Pengurusan Harta Pusaka Kini Lebih Mudah

 Assalamualaikum Warahmatullah,

Kali ini aku ingin berkongsi dengan pembaca pengalaman sendiri sepanjang menguruskan harta pusaka kecil iaitu jumlah nilaian harta alih dengan tidak alih kurang daripada RM5 juta. Terlebih dahulu aku kongsi serba ringkas apa yang perlu dibuat seusai selesai pengurusan jenazah dikebumikan.

Pertamanya, individu yang melaporkan kematian @ namanya tercatat di repot polis sebagai pengadu hendaklah ke Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara bagi urusan pemakluman dan mendapatkan sijil kematian. 

Setelah itu, sediakan sijil kematian asal ini bersama sijil nikah (jika pasangan) atau surat beranak @ sijil kelahiran dan kad pengenalan pewaris serta penyata / dokumen berkaitan bagi urusan tuntutan khairat kematian / bantuan mengurus jenazah serta maklumat akaun dan nilai / jumlah milik si mati di institusi kewangan yang dimiliki. Di antara tempat / institusi yang disyorkan pergi untuk urusan ini adalah:

  1. Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) jika penjawat awam atau KWSP - urusan secara email atau hadir ke kaunter
  2. Tabung Haji (hanya penama sahaja boleh berurusan) - urusan secara di apps THiJari atau hadir ke kaunter
  3. PERKESO jika pernah mencarum - hadir ke kaunter
  4. Skim Khairat Kematian (SKK) merupakan bantuan tunai RM1,000 daripada kerajaan bagi waris penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) - hadir ke kaunter BSN
  5. Pejabat zakat negeri 
  6. AJK kariah masjid / surau setempat (jika ada mengambil skim khairat kematian) - hubungi pegawai yang menguruskan
  7. Mana-mana persatuan / NGO / koperasi yang disertai serta masih aktif keahlian - hubungi persatuan tersebut
  8. Permodalan Nasional Berhad (PNB) jika ada simpanan ASB, ASN dsb - hadir ke kaunter
  9. Bank Rakyat  / Co-op Bank Pertama (Bank Persatuan) jika ada simpanan atau ahli - hadir ke kaunter
  10. Pemegang kad kredit islamic - hadir ke kaunter bank berkenaan
  11. Institusi kewangan dan insurans / takaful - hadir ke kaunter
Perlu diingatkan bahawa tuntutan khairat kematian / bantuan mengurus jenazah ini ada tempoh waktu luput permohonannya.

Kepada si mati berkerja sebagai anggota badan beruniform (Polis atau Tentera), ada perkara tambahan kepada anak mereka dalam menguruskan perkara ini. Aku khususnya mengalami pengalaman tersebut di mana No. Anggota bapaku berlainan di maklumat surat beranak / sijil kelahiran aku dengan maklumat di IC bapa. Bagi kes sedemikian (anggota Polis), anda hanya perlu menghubungi Cawangan Rekod Personel, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, PDRM di talian telefon 03-2266 8119 atau emel ke: urpersonel@rmp.gov.my bagi mendapatkan surat pengesahan nombor anggota berlainan merupakan individu yang sama.

Kemudian barulah kita ke permohonan pengurusan pusaka kecil. Sekarang semua urusan ini boleh dibuat secara online di Portal Sistem MyLAND atau Sistem Pengurusan Tanah Perkekutuan dan Pembahagian Pusaka di https://myland.gov.my/. Kita sendiri boleh uruskannya tanpa melibatkan agen dengan caj tambahannya.


Bagi pengguna kali pertama, anda perlu klik Daftar Akaun Baru terlebuh dahulu untuk tujuan pendaftaran dan penetapan katalaluan. Setelah berjaya, baru boleh log in dengan memilih Jenis Pengguna: Pengguna Awam dan memasukkan MyID Pengguna dan Kata Laluan. Paparan seperti di bawah akan anda lihat:


Klik pada PERMOHONAN PEMBAHAGIAN PUSAKA dan paparan berikut akan keluar.


Masukkan nombor IC si mati untuk semakan permohonan bagi Si Mati dan klik Cari. Tambahan paparan berikut akan keluar.


Klik Permohonan Baru (Seksyen 8) jika tidak pernah memohon untuk si mati. Kemudian Senarai semak permohonan petisyen di bawah seksyen 8 (Borang A) akan dipaparkan.


Isi semua maklumat yang dikehendaki di Borang A secara online daripada maklumat Si Mati, Pemohon & Peguam > Maklumat Perkahwinan > Maklumat Waris > Maklumat Pihak Berkepentingan > Maklumat Pemiutang > Maklumat Harta Tanah > Pengesahan Permohonan.


Setelah semua maklumat lengkap diisi, cetak Borang A tersebut dan tandatangan di hadapan Majistret / Pesuruhjaya Sumpah. Kemudian scan Borang A tersebut dan upload di bahagian pengesahan permohonan. Pilih tempat / lokasi perbicaraan dan klik hantar.

Perlu diingatkan bagi harta tidak alih seperti tanah, Sijil Carian Rasmi daripada pejabat tanah wajib dilampirkan dan dibawa semasa hari bicara nanti.

Maka selesailah proses permohonan. Untuk makluman, segala pemakluman (borang tidak lengkap, tarikh bicara, amaun bayaran) akan diemelkan ke emel yang telah didaftarkan. Anda juga boleh menyemak status permohonan di bahagian Senarai Permohonan. Angaran tempoh masa daripada permohonan lengkap dihantar ke tarikh bicara adalah 6 ke 12 bulan.

Apabila telah terima tarikh untuk perbicaraan, Borang D atau NOTIS PENDENGARAN (PETISYEN UNTUK PEMBAHAGIAN) dikeluarkan melalui sistem ini. Anda perlu download dan cetak borang berkenaan.

PERHATIAN: Pastikan Borang A asal, Borang D dan segala dokumen berkaitan yang asal (geran kenderaan, sijil carian rasmi, penyata bank dsb) di bawa semasa hari perbicaraan nanti.

Jika waris tidak dapat hadir ke hari perbicaraan, dia (setiap waris) mesti mengisi Borang DDA dan tandatangan di hadapan Majistret / Pesuruhjaya Sumpah. Borang ini iaitu yang asal mesti dibawa semasa hari perbicaraan nanti.

Nota:

**Sila bawa bersama-sama DUA ORANG SAKSI bebas yang mengenali si mati jika merupakan waris tunggal atau hadir secara berseorangan tanpa waris yang lain pada hari perbicaraan diadakan.

Setelah perbicaraan selesai, surat kuasa akan dikeluarkan dan dipos ke alamat yang didaftarkan. Invois bayaran perintah juga akan dikeluarkan melalui online dan mesti dijelaskan.

Apabila terima surat kuasa tersebut, Anda boleh hubungi pejabat berkaitan untuk urusan tuntutan atau pertukaran nama sama ada perlu hadir sendiri ke kaunter atau boleh buat permohonan melalui emel / online.

Begitulah prosedur / perjalanan pengurusan harta pusaka ini. Status harta pusaka yang dibekukan di Malaysia mencapai tahap kritikal, dengan anggaran nilai terkini mencecah RM90 bilion sehingga tahun 2023. Majoriti daripada harta beku ini (kira-kira 9/10) melibatkan umat Islam, merangkumi hartanah dan wang tunai yang tidak dituntut akibat kegagalan pengurusan pusaka yang teratur. Ugama menuntut Urusan ini dipercepatkan tanpa berlengah.

Akhir kalam, semoga ilmu ini bermanafaat kepada pembaca semua. Mati itu pasti, maka persiapkanlah kalian.

No comments:

Post a Comment