Assalamualaikum w.b.r,
Pertamanya, aku ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kurniaan panggilanNya menunaikan rukun islam ke-5 pada tahun ini 2023M / 1444H. Syukur Alhamdulillah. Surat tawaran daripada Tabung Haji (TH) telah ku terima pada 03 April 2023. Ingin aku kongsikan prosedur penerimaan tawaran tersebut bersama pembaca kerana banyak perkara baharu yang diperkenalkan pada Haji kali ini.
Apa yang perlu kita lakukan apabila terima surat tawaran ini? Jika ingin tangguh, aku nasihatkan tangguhlah ke tahun hadapan kerana perlu menyatakan sebab dan tahun yang diinginkan. Dan juga supaya giliran kita apabila tangguh nanti tidak jauh ketinggalan.
Bagi yang berkemampuan dari segala segi, sahutlah panggilan ini sebaiknya. Dalam surat tawaran ada menyatakan bayaran Haji yang perlu disediakan. Kita diberikan masa hanya dalam tempoh 7 hari bekerja dari tarikh surat bagi menjawab terima atau tidak tawaran melalui isi borang manual (ada disertakan bersama surat tawaran) atau melalui online THiJARI.
Berikut turutan tindakan yang perlu dilakukan bagi Bakal Haji (BH):
1. Terlebih dahulu jika ada simpanan KWSP, BH boleh buat permohonan pengeluaran mengerjakan Haji maksimum RM3,000 atau baki di akaun 2. Bawa salinan surat tawaran & penyata akaun TH bulanan terkini bagi tujuan permohonan ini. Selepas itu, cukupkan duit dalam akaun TH mengikut bayaran haji yang dinyatakan dalam surat tawaran.
2. Jawab surat tawaran. Jika isi borang manual boleh hantar ke pejabat TH berdekatan. Jika isi online, print surat terima tawaran dan bawa ke pejabat TH berdekatan.
3. Di pejabat TH, BH akan diberikan Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH) bersama borang pemeriksaan kesihatan.
4. Bawa BRRJH dan borang tersebut ke Klinik Kesihatan Kerajaan terdekat dengan rumah atau Klinik / Hospital yang disenaraikan oleh TH sahaja bagi pemeriksaan kesihatan. Ini kerana rekod pemeriksaan kesihatan akan terus dimasukkan ke dalam aplikasi MySejahtera. Setelah lulus pemeriksaan kesihatan, BH diwajibkan mengambil vaksin berikut:
- Dos lengkap vaksin Covid-19
- 1 Dos Booster vaksin Covid-19
- 1 Dos vaksin Meningococcal (valid selama 3 tahun)
5. Bawa BRRJH, borang pemeriksaan kesihatan dan sijil vaksin kembali ke pejabat TH. BH akan diberikan surat pengesahan terimaan BRRJH. BRRJH diserahkan semula kepada BH untuk dibawa bersama ke Mekah/Madinah.
*Nota: Langkah No. 1 sehingga 5 mesti dilakukan dalam tempoh 7 hari bekerja dari tarikh surat tawaran. BH boleh membuat rayuan untuk membawa Mahram di pejabat TH sejurus selesai langkah No. 5.
6. Jika tempoh sah laku Passport sebelum 01/01/2024 atau passport mempunyai kurang daripada 4 muka surat kosong, BH kena renew passport. Bawa surat tawaran dan surat terima tawaran bersama passport (jika renew) ke pejabat Imigresen bagi urusan Passport (renew/buat passport dibenarkan melalui walk-in sahaja bagi mendapatkan caj khas). Caj khas bagi BH adalah RM100 (caj biasa RM200).
7. Buka akaun atau tukar kad di Bank Islam kepada Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji bagi menikmati kemudahan pengeluaran (seperti pengecualian fee pengeluaran tunai) semasa di Mekah/Madinah. Untuk makluman, TH sudah tidak menyediakan kaunter pengeluaran tunai semasa di sana. Dinasihatkan bawa wang tunai Riyal tidak melebihi amaun yang ditetapkan oleh Negara atau gunakan kad bank ini untuk urusan perbelanjaan di sana.
8. Download Saudi Visa Bio bagi urusan permohonan Visa Haji. BH diwajibkan menggunakan aplikasi ini bagi tujuan visa. BH akan menerima pengesahan permohonan berjaya melalui e-mel yang didaftarkan sejurus selesai melakukan permohonan di aplikasi ini (kebiasaan dalam tempoh kurang 1jam). Jika menerima emel permohonan 'pending', BH diminta merujuk kepada pegawai TH untuk mengetahui tindakan lanjut. Ada beberapa tips diberikan untuk snap gambar dan scan 10 jari, boleh rujuk BH yang telah berjaya, petua: guna/pinjam smartphone lain jika tidak berjaya scan.
9. Bawa salinan emel pengesahan permohonan berjaya daripada Saudi Visa Bio bersama-sama passport dan 2 keping gambar VISA bersaiz 4cm x 6 cm ke pejabat TH untuk serahan. Dinasihatkan photostat berwarna 2 set passport hadapan terlebih dahulu bagi tujuan semasa urusan di Mekah/Madinah. BH akan diberikan surat pengesahan terimaan passport. Urusan tarikh akhir serahan passport ini adalah sebelum 30/05/2023.
10. BH akan dimaklumkan menyertai Kursus Intensif Haji (KIH) secara online di platform youtube. Kursus ini dijalankan selama 2 hari (Jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tgh hari).
11. Bagi BH negeri Selangor, Surat jemputan ke Kursus Perdana Haji (KPH) telah dikeluarkan dan akan dilaksanakan pada 06 dan 07 Mei 2023. KPH ini diadakan di setiap negeri (boleh rujuk Facebook rasmi TH berkenaan jadual perlaksanaan KPH).
12. BH mesti download aplikasi THhujjaj (bagi kegunaan mendapat pelbagai maklumat termasuk e-bimbingan di Tanah Air dan Tanah Suci) dan Nusuk (bagi kegunaan untuk urusan umrah dan masuk ke Raudah di Tanah Suci) di smartphone masing-masing.
13. Tunggu pemakluman tarikh penerbangan pergi dan balik bagi urusan permohonan cuti dan penjagaan anak-anak. Pemakluman ini boleh disemak di THiJARI. Sila semak sekali lagi sebelum 1 atau 2 hari dari tarikh penerbangan bagi melihat jika ada perubahan masa / tarikh di saat akhir. Penerbangan pertama dijadualkan pada 21 Mei 2023 (1 Zulkaedah 1444H).
Perkongsian ringkas ini adalah daripada pengalaman sendiri. Semoga ianya dapat membantu dan memberikan kemudahan kepada pembaca blog ini. BH dinasihatkan menghubungi pejabat TH terdekat atau THCC 03-6207 1919 untuk mendapatkan maklumat lebih tepat dan up to date.
Akhir kalam, aku mendoakan semua BH dipermudahkanNya segala urusan dalam melaksanakan ibadah ini dan pulang peroleh Haji Mabrur. Tolong Doakan kami (aku dan pasangan) dipermudahkan juga segala urusan olehNya dan peroleh Haji Mabrur. Rukun Islam ke-5. Aaamiinnn.
No comments:
Post a Comment