Monday, 31 July 2023

Catatan Perjalanan Haji 1444H / 2023M (Episod 1) - Persiapan kelengkapan diri dan barangan

Assalamualaikum & Salam Sejahtera kepada semua pembaca yang budiman. Terlebih dahulu ingin aku memanjatkan kesyukuran ke hadratNya kerana diberi peluang dan kemudahan dalam melaksanakan rukun Islam yang ke-5 ini. Kami telah selamat menjejakkan kaki kembali ke tanah air pada 11 Julai 2023 yang lalu.

Cuaca di Tanah Suci agak panas dalam range 36 ke 46 darjah celcius. Keadaan di sana panas kering tidak macam di Malaysia dengan cuacanya panas lembab. Jadi, kita tidak atau jarang berpeluh bila melakukan aktiviti di sana. Sehingga sidai baju di waktu malam pun boleh kering, sidai lepas isyak boleh angkat sebelum subuh.

Ingin aku kongsikan pengalaman yang amat berharga ini, mudah-mudahan ianya dapat membantu dan memberikan gambaran kepada pembaca expecially bakal-bakal Haji (BH). Untuk lembaran ini, aku ingin huraikan persiapan yang perlu dilakukan atau disediakan oleh BH sebelum berangkat ke Tanah Suci.

1. Ilmu mengerjakan ibadah Umrah & Haji. Selain menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh Tabung Haji (Kursus Asas, Kursus Intensif & Kursus Perdana), kita boleh perolehinya daripada youtube TH rasmi di e-kursus. Ianya penting supaya kita faham dengan jelas ibadah ini bagi mengelakkan kita melakukan kesilapan atau kesalahan semasa di Tanah Suci nanti. TH juga senantiasa bersedia membantu memberi panduan dan tunjuk ajar sepanjang kita di sana. Jadi, rujuklah kepada mereka ini jika ada sebarang kemusykilan atau masalah sepanjang tempoh kita berada di sana.

2. Vaksin tambahan iaitu Pneumococcal & Influenza. BH yang berumur 50 tahun dan ke atas digalakkan mengambil vaksin tambahan ini. Disyorkan mengambil vaksin ini 2 minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci supaya badan kita lebih bersedia. Didapati ramai jemaah kita yang demam, batuk dan selsema sepanjang berada di sana. Semoga dengan pengambilan vaksin tambahan ini BH dapat mengurangkan risiko jangkitan atau kesakitan daripada penyakit yang disebutkan.

Ini adalah di antara caj yang terendah ditawarkan bagi mengambil vaksin tambahan ini

3. Kelengkapan pakaian, barangan dan ubat-ubatan utama yang perlu di bawa telah TH senaraikan di dalam aplikasi THhujjaj sebagai panduan. BH boleh merujuk apps tersebut seperti paparan di bawah.









4. Berikut beberapa peralatan atau kelengkapan tambahan yang dirasakan perlu dibawa berdasarkan pengalaman:
- Mask muka (dibekalkan oleh TH kepada jemaah tahun ini)
- Kain pelikat tidak berjahit
- Sejadah nipis / poket (dibekalkan oleh TH kepada jemaah tahun ini)
- Botol spray untuk ambil wudhu (dibekalkan oleh TH kepada jemaah tahun ini)
- Sarung / beg selipar (dibekalkan oleh TH kepada jemaah tahun ini)
- Tikar Arafah (dibekalkan oleh TH kepada jemaah tahun ini)
- Set ketip kuku
- Pencukur
- Universal adaptor
- Extension wire
- 3 way adaptor switch
- Charger smartphone
- Power bank tidak melebihi 10,000 mah (mesti disimpan dalam hand carry beg)
- Topi / payung
- Kaca mata hitam
- Hook / Penyangkut with sticker adhesive
- Penyakut 'S' shape
- Berus dan sabun serbuk / buku pencuci pakaian (basuh sendiri memandangkan caj dobi di Madinah SAR 15.00/kg & Mekah SAR 20.00/kg)
- tali penyidai ampaian
- penyepit baju
- Cotton bud / pencuci telinga
- bagi penggemar kopi boleh bawa bekalan kopi 3 in 1 secukupnya. Kopi di sana ada dijual, harganya SAR 3 ke 5 per sachet
- makanan penambah selera seperti bawang/bilis goreng, tempe goreng, sambal, acar dsb

5. Selain dari ubat-ubatan yang diambil secara harian, berikut senarai ubatan yang disyorkan dibawa:
- Lotion untuk kulit kering dan tapak kaki merekah
- Panadol
- Minyak angin cap kapak
- Lozeng seperti strepsils, fisherman friend & gula-gula hacks hitam (boleh bawa lebih niat untuk sedekah kepada yang memerlukan)
- Pil Chi Kee Teck Aun
- Eye mo moist
- Inhealer vicks (untuk selsema)
- Vicks
- Ubat untuk mulut pecah / ulser
- Spray sore troat / sakit tekak
- Yoko yoko
- serbuk ORS / air garam
- Vitamin C tablet (Berocca, Redoxon dsb)
- Plaster luka
- Koyok / Salonpas

6. Komunikasi juga amat penting apabila kita berada di sana. Jadi, mendapatkan pakej data roaming atau beli simkad Arab Saudi antara pilihan. Di antara pakej data roaming yang ditawarkan telco Malaysia adalah:
- Celcom (RM98.00 untuk 30 hari) - postpaid
- Digi (RM95.00 untuk 30 hari) - prepaid (recommended sebab tiada caj tambahan atau tersembunyi)
- Maxis - postpaid

Pengalaman ambil pakej data roaming dengan Celcom, kena request unactivate voicemail sebelum bertolak ke sana untuk elakkan caj tambahan yang sangat tinggi dikenakan. Walaupun telah unactivate voicemail tetap kena berhati-hati. Untuk langkah selamat carilah pakej data roaming yang ditawarkan untuk prepaid.

Bagi yang memilih untuk beli simkad Arab Saudi pula, disyorkan syarikat telco STC, Zain & Mobily. Sebelum beli selidiki terlebih dahulu pakej yang ditawarkan dari segi bilangan data dan bilangan hari. Begitu juga coverage terutamanya di hotel penginapan. Untuk di Masyair (Arafah, Mudzalifah & Mina) semua telco yang dinyatakan ada coverage. Dinasihatkan beli simkad di pejabat telco, elakkan beli di kiosk tepi jalan. Di hotel penginapan TH juga ada menawarkan pembelian simkad.

7. Bagi yang ingin mengambil takaful perjalanan dan perubatan sebagai tambahan keselamatan, tanya dahulu adakah ianya valid untuk jemaah yang pergi menunaikan haji. Tidak semua takaful yang menawarkan perlindungan perjalanan/perubatan untuk pergi haji.


Jika BH tidak dapat menyediakan kelengkapan yang telah dinyatakan, jangan bimbang. Kedai di sana ada menjualnya, cuma harganya tinggi dan jenama mungkin tidak sama. Ada beberapa peralatan yang masih elok dipakai dan tidak digunakan setelah balik ke sini. Jika ada pembaca yang inginkan, bolehlah nyatakan di ruangan komen. Atas tiket siapa cepat dia dapat. Insyaa Allah.

Akhir kalam, setelah segala persiapan dan kelengkapan disediakan seterusnya tawakkal kita kepadaNya supaya dilorongkan kemudahan dan kebaikan.

Wednesday, 26 April 2023

Persediaan apabila terima surat tawaran haji 1444H

 Assalamualaikum w.b.r,

Pertamanya, aku ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kurniaan panggilanNya menunaikan rukun islam ke-5 pada tahun ini 2023M / 1444H. Syukur Alhamdulillah. Surat tawaran daripada Tabung Haji (TH) telah ku terima pada 03 April 2023. Ingin aku kongsikan prosedur penerimaan tawaran tersebut bersama pembaca kerana banyak perkara baharu yang diperkenalkan pada Haji kali ini.

Apa yang perlu kita lakukan apabila terima surat tawaran ini? Jika ingin tangguh, aku nasihatkan tangguhlah ke tahun hadapan kerana perlu menyatakan sebab dan tahun yang diinginkan. Dan juga supaya giliran kita apabila tangguh nanti tidak jauh ketinggalan.

Bagi yang berkemampuan dari segala segi, sahutlah panggilan ini sebaiknya. Dalam surat tawaran ada menyatakan bayaran Haji yang perlu disediakan. Kita diberikan masa hanya dalam tempoh 7 hari bekerja dari tarikh surat bagi menjawab terima atau tidak tawaran melalui isi borang manual (ada disertakan bersama surat tawaran) atau melalui online THiJARI.

Berikut turutan tindakan yang perlu dilakukan bagi Bakal Haji (BH):

1. Terlebih dahulu jika ada simpanan KWSP, BH boleh buat permohonan pengeluaran mengerjakan Haji maksimum RM3,000 atau baki di akaun 2. Bawa salinan surat tawaran & penyata akaun TH bulanan terkini bagi tujuan permohonan ini. Selepas itu, cukupkan duit dalam akaun TH mengikut bayaran haji yang dinyatakan dalam surat tawaran.

2. Jawab surat tawaran. Jika isi borang manual boleh hantar ke pejabat TH berdekatan. Jika isi online, print surat terima tawaran dan bawa ke pejabat TH berdekatan.

3. Di pejabat TH, BH akan diberikan Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH) bersama borang pemeriksaan kesihatan.

4. Bawa BRRJH dan borang tersebut ke Klinik Kesihatan Kerajaan terdekat dengan rumah atau Klinik / Hospital yang disenaraikan oleh TH sahaja bagi pemeriksaan kesihatan. Ini kerana rekod pemeriksaan kesihatan akan terus dimasukkan ke dalam aplikasi MySejahtera. Setelah lulus pemeriksaan kesihatan, BH diwajibkan mengambil vaksin berikut:

    • Dos lengkap vaksin Covid-19
    • 1 Dos Booster vaksin Covid-19
    • 1 Dos vaksin Meningococcal (valid selama 3 tahun)
5. Bawa BRRJH, borang pemeriksaan kesihatan dan sijil vaksin kembali ke pejabat TH. BH akan diberikan surat pengesahan terimaan BRRJH. BRRJH diserahkan semula kepada BH untuk dibawa bersama ke Mekah/Madinah.

*Nota: Langkah No. 1 sehingga 5 mesti dilakukan dalam tempoh 7 hari bekerja dari tarikh surat tawaran. BH boleh membuat rayuan untuk membawa Mahram di pejabat TH sejurus selesai langkah No. 5.

6. Jika tempoh sah laku Passport sebelum 01/01/2024 atau passport mempunyai kurang daripada 4 muka surat kosong, BH kena renew passport. Bawa surat tawaran dan surat terima tawaran bersama passport (jika renew) ke pejabat Imigresen bagi urusan Passport (renew/buat passport dibenarkan melalui walk-in sahaja bagi mendapatkan caj khas). Caj khas bagi BH adalah RM100 (caj biasa RM200). 

7. Buka akaun atau tukar kad di Bank Islam kepada Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji bagi menikmati kemudahan pengeluaran (seperti pengecualian fee pengeluaran tunai) semasa di Mekah/Madinah. Untuk makluman, TH sudah tidak menyediakan kaunter pengeluaran tunai semasa di sana. Dinasihatkan bawa wang tunai Riyal tidak melebihi amaun yang ditetapkan oleh Negara atau gunakan kad bank ini untuk urusan perbelanjaan di sana.

8. Download Saudi Visa Bio bagi urusan permohonan Visa Haji. BH diwajibkan menggunakan aplikasi ini bagi tujuan visa. BH akan menerima pengesahan permohonan berjaya melalui e-mel yang didaftarkan sejurus selesai melakukan permohonan di aplikasi ini (kebiasaan dalam tempoh kurang 1jam). Jika menerima emel permohonan 'pending', BH diminta merujuk kepada pegawai TH untuk mengetahui tindakan lanjut. Ada beberapa tips diberikan untuk snap gambar dan scan 10 jari, boleh rujuk BH yang telah berjaya, petua: guna/pinjam smartphone lain jika tidak berjaya scan.

9. Bawa salinan emel pengesahan permohonan berjaya daripada Saudi Visa Bio bersama-sama passport dan 2 keping gambar VISA bersaiz 4cm x 6 cm ke pejabat TH untuk serahan. Dinasihatkan photostat berwarna 2 set passport hadapan terlebih dahulu bagi tujuan semasa urusan di Mekah/Madinah. BH akan diberikan surat pengesahan terimaan passport. Urusan tarikh akhir serahan passport ini adalah sebelum 30/05/2023.

10. BH akan dimaklumkan menyertai Kursus Intensif Haji (KIH) secara online di platform youtube. Kursus ini dijalankan selama 2 hari (Jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tgh hari).

11. Bagi BH negeri Selangor, Surat jemputan ke Kursus Perdana Haji (KPH) telah dikeluarkan dan akan dilaksanakan pada 06 dan 07 Mei 2023. KPH ini diadakan di setiap negeri (boleh rujuk Facebook rasmi TH berkenaan jadual perlaksanaan KPH).

12. BH mesti download aplikasi THhujjaj (bagi kegunaan mendapat pelbagai maklumat termasuk e-bimbingan di Tanah Air dan Tanah Suci) dan Nusuk (bagi kegunaan untuk urusan umrah dan masuk ke Raudah di Tanah Suci) di smartphone masing-masing.

13. Tunggu pemakluman tarikh penerbangan pergi dan balik bagi urusan permohonan cuti dan penjagaan anak-anak. Pemakluman ini boleh disemak di THiJARI. Sila semak sekali lagi sebelum 1 atau 2 hari dari tarikh penerbangan bagi melihat jika ada perubahan masa / tarikh di saat akhir. Penerbangan pertama dijadualkan pada 21 Mei 2023 (1 Zulkaedah 1444H).

Perkongsian ringkas ini adalah daripada pengalaman sendiri. Semoga ianya dapat membantu dan memberikan kemudahan kepada pembaca blog ini. BH dinasihatkan menghubungi pejabat TH terdekat atau THCC 03-6207 1919 untuk mendapatkan maklumat lebih tepat dan up to date.

Akhir kalam, aku mendoakan semua BH dipermudahkanNya segala urusan dalam melaksanakan ibadah ini dan pulang peroleh Haji Mabrur. Tolong Doakan kami (aku dan pasangan) dipermudahkan juga segala urusan olehNya dan peroleh Haji Mabrur. Rukun Islam ke-5. Aaamiinnn.