Wednesday, 14 May 2025

Catatan Perjalanan Haji 1444H / 2023M (Episod 4 - Finale) - Perjalanan Haji di Makkah Al-Mukarramah 43 hari

 Labbaikallah hu Malabbaik,

Kami tiba di Mekah pada 31/05/2023, kami ditempatkan 6 orang sebilik di Rehab Al-Janadiriyyah (Rehab). Kad bilik yang disediakan hanya 2 sahaja. Jadi, orang last yang keluar bilik mesti pastikan kad bilik ditinggalkan di meja lobi bagi memudahkan akses rakan bilik yang lain.

Kami selesai mengerjakan umrah selepas waktu subuh dengan dipandu dan dibantu oleh rakan TH bermula dari Rehab berjalan kaki ke Masjidil Haram sehingga pulang semula ke Rehab. Bermulalah rutin hidup kami di kota Mekah bagi menunggu hari berangkat ke Masyair (Arafah, Mudzalifah & Mina) pada 28/06/2023.


Kami kump KT016 dihimpunkan tempat penginapan bersama KT yang lain di bawah Maktab 84. Di sinilah kami mengenali JH yang datang dari lain negeri termasuklah JH dari Sabah. Rehab ini memiliki 8 tingkat. Di aras bawahnya terdapat kafetaria (makan tengah hari & malam disediakan), surau, klinik TH, kaunter dobi, kaunter Pos Malaysia, kiosk jualan makanan dan simkad. 



Perjalanan dari Rehab ke Masjidil Haram hanya 1.2 km dengan melalui Hotel Anjum (jalan short-cut) terus berjumpa dengan dataran luar masjid. Banyak kedai makanan dan barangan lain yang terdapat berhampiran Rehab ini. Selain berjalan kaki ke Masjidil Haram, JH boleh menaiki bas awam (percuma) atau mengambil teksi (kadar SAR 5 ke SAR 10). Pada waktu ini kadar teksi masih murah kerana JH masih tidak ramai.


Harga SAR 5 setiap pek



Memandangkan musim kali ini cuaca agak panas dan suhu boleh mencecah sehingga 42 - 44 darjah celcius, TH menggalakkan JH untuk solat berjemaah pada waktu zohor dan asar di surau Rehab (juga dibuat solat Jumaat) atau Masjid Ben Ladin yang berdekatan dengan Rehab (tidak sampai 400 meter jaraknya). Musim Haji kali ini kami dapat merasa solat di bangunan yang baru siap dibina dalam projek perluasan Masjidil Haram seperti gambar yang terpapar di duit SAR.




Kami mencuci pakaian sendiri memandangkan upah dobi yang dikenakan agak tinggi iaitu SAR 15 per kg. Pakaian yang dibasuh Kami jemur pada waktu tengah malam dan kering sebelum masuk waktu subuh. Kami sidai pakaian yang dibasuh di tingkat paling atas Rehab walaupun sebenarnya kerajaan Arab tidak membenarkannya. 



Rutin harian Kami berulang ke Masjidil Haram solat berjemaah pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak. Waktu selainnya kebanyakannya Kami memilih untuk berjemaah di surau Rehab atau Masjid Ben Ladin jika cuaca terlalu panas.

Selang 2 hari di Mekah, Kami sekali lagi melakukan ibadah Umrah. Kali ini Kami lakukan dengan rakan sebilik dan berkongsi teksi. Caj teksi bagi menghantar Kami ke tempat berniat ihram (Masjid Aisyah - Tannaim) dan seterusnya ke Masjidil Haram adalah SAR 70 (7 orang kesemuanya). Ini kadar semasa JH belum ramai di Mekah. JH juga boleh mencuba bas awam bagi melakukan Umrah dan ianya percuma.

Berikut beberapa tips pilihan tempat makan food court kepada JH yang terdapat di sekitar Masjidil Haram:

Bermula dari kanan Masjid, Safwan Tower (di tingkat 2). Di sini terdapat Restoran DSaji dan Nur Restoran, Citarasa Malaysia.

The Clock Tower Shopping Center (di tingkat 3 dan LG). Recomended kerna harga yang lebih ekonomi dari food court yang lain.

Makkah Hotel (tingkat 2 sebelah kanan). Dari dataran luar masjid nampak ekskelator naik ke tingkat atas.

Jabal Omar (tingkat 2). Terletak di belakang Inter Continental Darul Tawhid Makkah. Kalau nak try Restoran Al-Baik dengan pelbagai menu dan harga yang lebih murah dari KFC n McD.

Selain tempat di atas, Kami juga ingin merasa masakan daging unta. Restoran yang disyorkan adalah Restoran Kabsa Hashi. Caj teksi ke sana dari Rehab sehala dalam SAR 15 ke 30.

Banyak tempat yang JH boleh kunjungi. TH juga ada menyediakan beberapa siri lawatan menaiki bas dengan mengenakan bayaran yang berpatutan. Antara tempat melawat adalah kota Taif, Gua Hira' (ada Muzium Interaktif di sini), Pasar Kak Kiah, Bukit Thaur dan lain-lain.

Rukun Haji

Tanggal 28/06/2023 merupakan permulaan bersejarah bagi kami kerna inilah hari di mana semua JH Malaysia memulakan perjalanan ke Masyair bagi mengerjakan rukun Haji. Pihak TH telah mengatur pergerakan ke Arafah sehari lebih awal bagi mengelakkan JH daripada tiba ke sana di luar waktu rukun yang telah ditetapkan. Sebelum memulakan perjalanan, pelbagai info telah disampaikan secara lisan dan poster yang diletakkan di ruangan lobi Rehab.






Gambar rajah di atas adalah beberapa informasi yang disampaikan TH sebagai persiapan JH ke Masyair. Perancangan rapi ini telah diterjemahkan apabila kami melaksanakan kerja Haji di sana. Untuk makluman, pihak TH dengan dibantu para sukarelawan JH telah mengagihkan bekalan batu untuk melontar jamrah sehari sebelum JH mula bergerak ke Arafah.



Setibanya Kami di Arafah lebih kurang jam 1.00 petang dengan menaiki bas, Kami terus ke khemah masing-masing yang telah ditetapkan mengikut nombor khemah yang terdapat pada pelekat kad Haji. Kemudahan khemah yang berhawa dingin dengan dibekalkan tilam, JH dapat beribadat walaupun ruangannya agak terhad dan berhimpit. Di Arafah terdapat dataran yang boleh digunakan JH. Kami memilih untuk stay di dataran pada sebelah petang dan malamnya kerana ada membawa alas tidur bagi memberi ruang dan peluang kepada JH lain yang duduk di dalam khemah. Di Masyair, JH dibekalkan makanan 3 kali sehari (pagi, tengah hari & malam) di samping disediakan air minuman free flow (kopi dan teh).



Setelah 2 hari 1 malam di Arafah, JH kemudiannya mula bergerak ke Mudzalifah secara berperingkat bermula penghujung Asar dengan menaiki bas. Kumpulan kami tiba di Mudzalifah pada jam 8.00 malam dan bermabit kami di sana. Selain berzikir dan mengutip batu melontar (cuma syarat ambil pahala) sepanjang 5 ke 6 jam di sana, saya mengesyorkan JH gunakanlah kemudahan tandas yang disediakan di sana kerana ianya luas dan kurangnya JH yang mengambil kesempatan ini.


Tandas 2 tingkat di Mudzalifah

Setelah selesai bermabit, JH mula bergerak ke Mina mulai jam 12.30 tengah malam bagi melaksanakan rukun Haji melontar jamrah. Setibanya di Mina, Kami terus ke khemah yang ditetapkan untuk berehat. Di Mina, kawasannya adalah terhad kerana di penuhi khemah-khemah dan tiada dataran atau ruang tanah untuk didiami melainkan jalan atau laluan. Inilah cabaran dan ujian yang perlu ditempuhi JH sepanjang berada 2 atau 3 hari di sini.


Jarak perjalanan dari khemah ke Jumrah adalah lebih kurang 3.5 km sehala. Laluan ini terus ke tingkat 3 Bangunan Jumrah yang telah dikhususkan kepada orang dari Asia. Setelah tahalul awal, Kami menunaikan ibadah qurban di tempat sembelihan yang terletak 3 km dari khemah di Mina.





TH telah menetapkan kumpulan Kami di antara sebahagian yang akan pulang awal ke Mekah bagi persiapan mengerjakan rukun Haji Tawaf dan Sai. Bas Kami mula bergerak seusai semua JH kumpulan Kami selesai melontar pada hari Tashriq yang ke-2.

Setibanya Kami kembali ke Rehab, JH diberi ruang untuk menguruskan masa sendiri bagi mengerjakan ibadah tersebut sekaligus melengkapkan ibadah Haji Kami. Syukur Alhamdulillah, semua urusan perjalanan ibadah Kami ini dipermudahkan olehNya. Semoga ibadah yang Kami lakukan ini diterima dan diredhaiNya. Aminnn Ya Rabbal Alamin.

Selesai kerja Haji kami, berbaki kurang 13 hari lagi sebelum Kami berangkat pulang ke Malaysia. Ini di antara yang sempat Kami rasai sepanjang berada di Kota Suci Mekah.










Setinggi syukur dipanjatkan kepadaMu Ya Allah di atas segala kurniaanMu kepada Kami. Banyak kenangan dan pengalaman yang terakam sepanjang perjalanan Kami ini.





Akhir kalam, Rabbi Yassir Wala Tuassir.