Assalamualaikum WaRahmatulah Hi WaBarakatuhu,
Alhamdulillah diberi kesempatan untuk sambung menulis berkongsi pengalaman mengerjakan Haji selama 48 hari di sana. Episod kali ini aku kongsikan pengalaman ringkas sepanjang berada di Madinah. Penerbangan kami dari KLIA ke Prince Mohammad Bin Abdulaziz International Airport, Madinah pada 25/05/2023 (Khamis) jam 16:30 yang memakan masa selama 9 jam 25 minit. Kami selamat mendarat lebih kurang jam 22:00 (Waktu Arab Saudi) dengan menaiki MAS. Sewaktu perjalanan, Kami dihidangkan makanan sebanyak dua kali di atas flight.
Sesampainya kami di Airport Madinah, Kami menaiki bas /tram yang telah disediakan untuk ke kaunter ketibaan. Kami hanya perlu membawa beg (kabin) yang berada bersama kami sahaja manakala beg besar di bagasi TH uruskan penghantaran terus sehingga ke tingkat bilik penginapan jemaah di Hotel. Jadi, kepada bakal Haji tidak perlu khuwatir lagi tentang membawa bebanan beg berat ke Hotel. Seterusnya Kami menaiki bas yang telah ditetapkan mengikut nombor (seperti pelekat maklumat di belakang Kad Haji) seperti di bawah:
Jarak perjalanan ke hotel dari airport lebih kurang 40 minit dan kami tiba di Hotel pada jam 00:15. Kami menginap di Hotel Saja Al-Madinah dengan berkongsi 4 orang sebilik. TH telah mengatur bilik penginapan berdekatan/bersebelahan dengan bilik pasangan masing-masing. Dengan bilik yang selesa dan jarak ke Masjid Nabawi tidak sampai 350 meter amat membantu JH dalam menjalani ibadah.
Pada hari pertama di sini (26/05/2023 - Jumaat), mula bersiap ke Masjid Nabawi untuk solat Subuh berjemaah. Dari hotel kami berjalan kaki masuk melalui pagar No. 16 - 18. Masuk melalui pintu No. 18 boleh terus ke saf depan berdekatan dengan Raudhah atau Makam Nabi s.a.w.
TH hanya menyediakan Makan Tengah hari dan Malam di Hotel. Jadi, Kami mula jelajah kawasan sekitar masjid untuk sarapan pagi. Banyak kedai makan di sekitarnya.
Jam 9:00 pula TH adakan taklimat ringkas serta ziarah sekitar Masjid Nabawi dan Kawasan perkuburan Baqi'. Setinggi kesyukuran dipanjatkan kerna diberi peluang bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi. Aku dapat merasa solat di tingkat atas Masjid yang diberitahu ruang solat di tingkat atas hanya dibuka pada waktu solat Jumaat sahaja tidak pada waktu lain.
Kepada JH yang tidak sempat untuk beli data roaming, TH ada menyediakan perkhidmatan jualan kad data roaming di hotel JH menginap. Dinasihatkan JH elakkan dari membeli data roaming dari kiosk2 di sekitar Masjid Nabawi. Harga barangan kedai di sekitar Masjid Nabawi juga berpatutan. Aku syorkan JH pergi ke kedai SAR5 (macam kedai Eco) di aras bawah bangunan Hotel Hilton. Dari pemerhatian, harga barangan dan cenderahati di sini lebih murah jika dibandingkan kedai di Mekah. Pos Malaysia juga ada menawarkan perkhidmatan kurier barangan ke Malaysia kepada JH dengan harga seperti di bawah:
Hari Kedua (27/05/2023 - Sabtu) pula, TH telah aturkan lawatan ke Kawasan sekitar Madinah termasuk Bukit Uhud. Sebelah malamnya seusai solat Isyak, Kami berkesempatan ke Medan Selera yang berdekatan dengan Masjid Bilal Ibn Rabah dengan menaiki teksi harga sehala SAR15. Kami cuba masakan Nasi Arab Kambing, Hati Unta dan Ikan Goreng. Banyak kedai makan yang boleh dicuba.
Hari Ketiga (28/05/2023 - Ahad), aku cuba daftar untuk masuk ke Raudhah dengan menggunakan aplikasi Nusuk seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Walaubagaimanapun, TH telah mengaturkan pendaftaran masuk ke Raudhah bagi JH mengikut KT masing-masing. KT kami dapat masuk ke Raudhah pada Hari Keempat (29/05/2023 - Isnin) selepas Zohor. Dan aku diberi kesempatan sekali lagi masuk ke Raudhah selepas solat Maghribnya pula dengan mempamerkan pas masuk Nusuk (kali ini yang daftar sendiri dengan apps Nusuk) kepada pegawai bertugas.
Bagi JH yang ingin menggunakan khidmat dobi, sekitar hotel ada kedai dobi yang menawarkan caj cucian SAR10 per KG.
Hari Kelima (30/05/2023 - Selasa), Kami melakukan persiapan untuk ke Mekah yang dijadualkan selepas Zohor. Beg besar telah dikumpulkan pada malam sebelum untuk dihantar dahulu ke Mekah dengan lori. Usai solat Zohor, kami melakukan ziarah Wida' dan berpakaian ihram sebelum menaiki bas.
Bas berhenti seketika di Dzulhulaifah untuk Kami berniat ihram bagi mengerjakan umrah.
Perjalanan memakan masa lebih kurang 6 jam ke Mekah. Di pertengahan perjalanan, bas berhenti di RnR. Kami sempat menikmati Nasi Arab bagi mengalas perut sebelum menyambung perjalanan.
Kami selamat tiba di Mekah pada jam 20:00 di Rehab Al-Janadiriyyah. Selesai sudah episod di Madinah. Ada lebih dari 40 hari lagi di Mekah bagi menyambung ibadah haji & umrah di sana.
Akhir kalam, memetik Daripada Anas RA ia berkata, Nabi SAW bersabda: “Tidak sempurna keimanan seseorang diantara kalian hingga ia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia semuanya.” (HR Bukhari No: 15) Status: Hadis Sahih.