Sunday, 5 May 2024

Catatan Perjalanan Haji 1444H / 2023M (Episod 2) - Mula Pergerakan Menunaikan Haji Lapor Diri di Movenpick

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Sedar tidak sedar, sudah masuk musim Haji 1445H dengan penerbangan pertama dijadualkan pada 09/05/2024. Hasrat untuk berkongsi pengalaman Haji 1444H diteruskan lagi setelah ada sedikit kelapangan pada hari ini.

Surat penerbangan haji telah kami terima menyatakan tarikh pergi dan pulang bersama masa yang telah ditetapkan. Tempoh berada di Tanah Suci adalah selama 48 hari. Kami telah ditempatkan dalam group KT016 yang dijadualkan penerbangan ke Airport Putera Mohammad bin Abdulaziz iaitu ke Madinah pada jam 5.15 petang tarikh 25/05/2023.

Sebelum berangkat ke Movenpick Sepang, ada beberapa perkara yang perlu kami semak sebelum berangkat pada keesokkan harinya. Di antaranya adalah seperti berikut:

  • Beg besar tidak melebihi 30 kg dengan dibalut oleh plastik bagi mengelakkan dari ianya pecah / terburai. Pastikan power bank tidak disimpan dalam beg ini.
  • Beg kecil tidak melebihi 5 kg. Kami gunakan beg ini untuk menyimpan sepersalinan pakaian, power bank (tidak melebihi 10,000mAh), charger serta barangan lebihan daripada beg besar.
  • Dokumen yang diperlukan TH termasuk buku rekod kesihatan, duit riyal (kadar tukaran SAR 1 = RM 1.196) dan botol spray disimpan dalam sarung atau beg plastik sementara sebelum dipindahkan ke dalam Beg sandang yang akan diberikan semasa mendaftar di Movenpick pada hari berangkat nanti.
  • Pastikan aplikasi Nusuk (tujuan daftar masuk ke raudhah, Masjid Nabawi), Tanaqol (tujuan booking skuter untuk buat tawaf dan sai) dan THhujjaj (tujuan pentadbiran dan sebaran maklumat kerja haji) telah di install dalam smartphone.
Kami dinasihatkan oleh TH untuk tiba di Movenpick 2 jam awal sebelum masa yang tercatat pada surat penerbangan (11.45 pagi). Kami selamat tiba pada jam 9.30 pagi dan terus mengikut arahan yang diberikan oleh petugas TH di sana. Kami bermula dengan pergi ke kaunter daftar bagi urusan pengambilan passport, gelang besi, kad jemaah TH, label pelekat beg bagasi dan beberapa barangan sumbangan daripada TH dan rakan penaja. Di antaranya adalah pelapik alas getah (kegunaan semasa di Arafah), sejadah nipis travel, topeng muka, botol spray dan beg sandang.

Setelah selesai memasang label pelekat pada beg, kami terus ke bahagian check in beg bagasi untuk di scan dan daftar. Sekali lagi diingatkan power bank dilarang disimpan di dalam beg besar (beg bagasi). Setelah itu, kami ke dewan dengan membawa beg kecil (tidak melebihi 5 kg) bersama beg sandang.

Seusai di dewan, kami dinasihatkan oleh petugas TH untuk scan QR code yang terpapar di layar putih hadapan dewan untuk join group whatsapp bagi KT016. Sementara menunggu jemaah kumpulan lengkap tiba, beberapa perkara boleh kita lakukan di sini, antaranya:

  • tukaran duit riyal oleh Bank Islam(kadar agak tinggi iaitu SAR 1 = RM1.30)
  • mesin minuman RO disediakan
  • tandas
  • jangan lupa ambil gambar VISA yang dikepilkan bersama passport bagi tujuan daftar masuk hotel (jika ingin stay hotel berdekatan Masjidil Haram) dan daftar talian telefon di sana nanti
  • aktifkan roaming data
Petugas akan memberikan taklimat ringkas sebelum jemaah dibenarkan menaiki bas ke KLIA. Lebih kurang jam 12.30 tgh hari kami mula menaiki bas untuk ke KLIA. Perjalanan lebih kurang 30 ke 40 minit.

Bas terus menghantar jemaah ke platform menunggu pesawat. Jemaah telah jimat banyak prosedur dan perjalanan jika dibandingkan dengan penumpang pesawat kebiasaannya. Tidak perlu banyak berjalan, Setinggi penghargaan kepada pihak TH di atas pengurusan yang cekap dan teratur. Kita hanya perlu mendengar arahan daripada petugas dan boleh bertanyakan kepada mereka jika ada sebarang persoalan.

Sementara menunggu flight yang dijadualkan berlepas pada jam 5.15 petang, kami disediakan makan tengah hari pada jam 2.15 ptg. Jemaah boleh solat dan caj telefon (soket banyak tersedia). Di platform ini juga ada menjual makanan dan minuman.

Petugas TH akan memberikan arahan kepada jemaah untuk masuk ke pesawat mengikut giliran yang ditetapkan. Kami selamat berada di dalam pesawat sekitar jam 5.30 ptg kerna terdapat sedikit delay semasa ketibaan pesawat.

Akhir kalam, jika kita gagal merancang, kita merancang untuk gagal. Maka bermulalah perjalanan Haji kami.